Pembangunan Dan Penilaian Tahap Kesesuaian Penggunaan E-Modul Asas Animasi 2D Berdasarkan Teori Konstruktivisme Model Needham 5 Fasa
Abstract
Proses pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran (PdP) pensyarah pada masa kini seharusnya menggunakan teknik dan kepelbagaian penyampaian yang lebih menarik. Namun begitu, masalah wujud apabila pelajar sukar untuk memahami penerangan secara lisan, berbanding penggunaan aplikasi yang mempunyai gabungan elemen multimedia seperti grafik, teks, video, audio, animasi dan interaksi yang diterapkan dalam pelaksanaan PdP. Pembangunan bahan bantu mengajar bagi subjek Asas Animasi 2D sangat diperlukan sebagai sumber rujukan utama kepada pelajar dan pensyarah. Oleh itu, kajian ini dijalankan bertujuan untuk membangunkan dan menilai E-Modul Asas Animasi 2D yang berpandukan kepada kurikulum subjek Asas Animasi 2D, Program Sijil Kolej Komuniti Malaysia. Pembangunan e-modul ini berdasarkan kepada Teori Konstruktivisme Model Needham 5 Fasa dan kajian berbentuk kuantitatif ini dilaksanakan berdasarkan model ADDIE. Kajian ini telah dijalankan ke atas empat orang pakar bertujuan untuk mendapatkan maklum balas tentang kebaikan dan kelemahan aplikasi yang dibangunkan. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa maklum balas daripada pakar adalah positif dan dapatan analisa kajian menunjukkan E-Modul Asas Animasi 2D yang telah dibangunkan memenuhi kriteria dan keperluan pengguna. Diharapkan, melalui pembangunan e-modul ini dapat membantu pembelajaran yang lebih interaktif. Disamping itu penerangan yang mudah secara visual ini secara tidak langsung dapat membantu pemahaman pelajar dengan lebih baik. E-Modul Asas Animasi 2D ini boleh diperluaskan penggunanya dalam pelaksanaan PdP yang menarik dan lebih berkesan.