Hubungan Kemahiran Kebolehkerjaan Pelajar Kolej Vokasional Pertanian Dengan Kesediaan Menghadapi Revolusi Industri 4.0
Abstract
Tujuan kajian ini adalah untuk mengenal pasti hubungan antara kemahiran kebolehkerjaan pelajar kolej vokasional pertanian dengan kesediaan menghadapi revolusi industri 4.0. Berdasarkan teori modal insan Schultz sembilan domain dibentuk iaitu kemahiran komunikasi, kemahiran kerja berpasukan, kemahiran kepimpinan, kemahiran keusahawanan, kemahiran etika dan moral, kemahiran teknologi dan maklumat, kemahiran sosial, kemahiran pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah serta kerohanian. Kajian ini adalah berbentuk kuantitatif dengan menggunakan kaedah tinjauan. Instrumen kajian yang digunakan adalah satu set soal selidik. Soal selidik mengandungi 58 item berskala Likert 5-poin. Seramai 150 orang pelajar Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan telah dipilih sebagai sampel kajian dengan menggunakan teknik persampelan rawak mudah. Hasil analisis secara keseluruhannya responden bersetuju (M=3.65; SP=0.76) dengan kemahiran kebolehkerjaan yang mereka miliki. Domain kemahiran kebolehkerjaan yang memperoleh nilai min tertinggi adalah kemahiran kerja berpasukan (M=3.98; SP=0.86), diikuti oleh kerohanian (M=4.00; SP=0.95) serta kemahiran etika dan moral (M=3.95; SP=0.81). Sementara itu, domain kemahiran kebolehkerjaan yang mencatatkan nilai min terendah adalah kemahiran kepimpinan (M=3.77; SP 0.91). Hasil analisis kesediaan responden menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 mendapati responden pernah mendapat maklumat berkaitan Revolusi Industri 4.0 (M=3.44; SP=0.81), namun responden masih lagi tidak memahami matlamat Revolusi Industri 4.0 (M=2.60; SP=0.77). Responden juga bersetuju (M=3.95; SP=0.82) dan memahami cabaran Revolusi Industri 4.0 yang bakal mereka tempuhi dalam industri. Namun begitu, responden masih tidak pasti (M=3.34; SP=0.73) kesediaan mereka untuk menempuh cabaran Revolusi Industri 4.0 pada masa depan. Seterusnya, dapatan analisis menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara kemahiran kebolehkerjaan dengan kesediaan mengadapi cabaran revolusi industri 4.0, di mana r = 0.56 (0.30 < r < 0.69). Hasil dapatan ini menunjukkan terdapat hubungan yang lemah arah positif antara kemahiran kebolehkerjaan dengan kesediaan mengadapi cabaran Revolusi Industri 4.0. Justeru, diharapkan empirikal kajian ini dapat dijadikan panduan kepada warga pendidikan teknikal dan vokasional bagi meningkatkan kemahiran kebolehkerjaan pelajar dan mendedahkan pelajar dengan Revolusi Industri 4.0.