Mengenalpasti Tahap Kepuasan Peserta Terhadap Pelaksanaan Kursus Pendek Di Kolej Komuniti Selandar, Melaka
Abstract
Kajian ini dijalankan bertujuan mengenalpasti tahap kepuasan peserta terhadap pelaksanaan kursus pendek yang dikelolakan oleh Unit Pendidikan Berterusan, Kolej Komuniti Selandar pada tahun 2016. Tumpuan kajian ini adalah kepada peserta kursus pendek yang telah mengikuti kursus pendek sepanjang tahun 2016. Objektif kajian adalah untuk mengenalpasti tahap kepuasan peserta dari aspek penyampaian oleh pengajar dan kandungan kursus yang teratur. Kajian ini juga dilakukan untuk melihat hubungan antara tahap kepuasan dengan peningkatan pengetahuan peserta. Borang Soal selidik digunakan sebagai instrumen kajian untuk menilai semua aspek tersebut. Kajian secara kuantitatif ini menganalisa data 357 orang responden terdiri daripada peserta kursus pendek yang dipilih secara rawak. Hasil analisa borang soal selidik menunjukkan tahap kepuasan yang tinggi dari aspek penyampaian dan kandungan kursus pendek iaitu seramai 326 orang menyatakan tahap kepuasan tinggi bagi penyampaian kursus dan seramai 333 orang menyatakan kepuasan tinggi terhadap kandungan kursus pendek yang dilaksanakan. Latihan berterusan perlu diberikan kepada para pengajar selari dengan kepelbagaian permintaan kursus dari komuniti bagi menyediakan tenaga pengajar yang kompeten dan berkebolehan tinggi. Selain kualiti penyampaian dan kandungan kursus, skop kajian boleh diperluaskan lagi bagi memberi gambaran yang lebih jelas mengenai pelaksanaan kursus pendek di Kolej Komuniti Selandar.